Saturday, September 27, 2014

PTPTN

Sebelum menjejak kaki ke universiti,saya dinasihatikan bahawa memohon PTPTN untuk membiayai kos pendidikan di universiti.Berikut adalah perkongsian saya selepas mendapat maklumat daripada kakak-kakak di universiti.

Sebenarnya apa itu PTPTN? Nama penuh untuk PTPTN adalah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional.PTPTN ini diwujudkan untuk membantu memberikan pembiayaan pinjaman pendidikan kepada pelajar yang mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan.  Pembiayaan ini akan membolehkan pelajar membiayai sepenuh atau sebahagian yuran pengajian dan juga kos sara hidup di sepanjang tempoh pengajian mereka di IPT.  Di samping itu skim ini memberi lebih banyak peluang kepada semua golongan pelajar untuk melanjutkan pelajaran di peringkat yang lebih tinggi.

Kini lebih 600,000 orang pelajar sedang menuntut di 20 IPTA dan 32 politeknik di seluruh negara.. Ini adalah satu bukti bahawa pendidikan tinggi tidak pernah diswastakan.Pengajian tinggi adalah satu bentuk pelaburan untuk peluang kerjaya dan gaji yang lebih baik.. Untuk pengetahuan anda,kadar faedah pinjaman pendidikan PTPTN yang dikenakan hanyalah serendah 1% sahaja dan kaedah pembiayaan balik adalah fleksibel bergantung kepada keupayaan kewangan peminjam.

Tambahan pula,isu Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hangat diperkatakan pada masa kini. Di samping negara Malaysia menggalakkan pendidikan yang berkualiti ada pihak yang ura-ura menyatakan adalah lebih baik jika diberikan pendidikan secara percuma yang mana ia lebih dianggap tidak membebankan sesiapa khususnya kepada penuntut di institusi awam atau swasta.

Selalu juga kita dengar daripada sesiapa sahaja jika diberi sesuatu barang atau apa sahaja dalam bentuk percuma siapa yang tidak mahu menerima? Bahkan, berlumba-lumba orang ramai ingin mendapatkannya jika betul dengan cara pemberian. Hal ini juga boleh diibaratkan kepada para pelajar seperti mengantuk disorongkan bantal ataupun lebih sinonim dengan pepatah pucuk di cita ulam mendatang.

Para pelajar khususnya memang mengharapkan sistem pendidikan yang berbentuk percuma, kerana apa-apa kos pendidikan yang digunakan seperti yuran khususnya akan ditanggung oleh pihak kerajaan. Namun, sejauh mana perkara ini boleh membantu para pelajar? Bagi sesiapa yang berfikiran ke hadapan, jika pendidikan di negara Malaysia juga mengamalkan sistem pendidikan percuma ia merupakan sesuatu yang akan mendatangkan keburukan pada masa akan datang. Seperti yang kita sedia maklum, majoriti pelajar di IPTA dan IPTS menyambung pengajian mereka dengan menggunakan bantuan wang pinjaman PTPTN ini.

Justeru, adalah lebih baik sekiranya bantuan ini diteruskan kerana lebih banyak baiknya daripada sesetengah pihak terus mempertikaikan supaya PTPTN diteruskan dan agar cadangan mereka diterima pakai iaitu dengan menghapuskan PTPTN. Sebelum mengulas lanjut berkenaan dengan kebaikan PTPTN diteruskan, kita perlu melihat kesan atau akibat sekiranya PTPTN tersebut dimansuhkan atau dengan kata lain diberikan pendidikan percuma kepada para pelajar.

Kita melihat dari sudut pelajar itu sendiri. Sekiranya pendidikan percuma diberikan kepada para pelajar, dengan erti kata lain ia merupakan jaminan untuk meringankan beban para pelajar tersebut. Namun, apabila difikirkan semula, ia adalah lebih membebankan para pelajar khususnya pelajar yang menyambung pengajian yang merupakan pelajar yang tergolong dalam golongan miskin atau sederhana. Hal ini menunjukkan, sekiranya diberi pendidikan percuma, ia hanya menampung kos yuran atau kos pendidikan di sesebuah institut pengajian. Ini bermakna kos sara hidup sama ada perbelanjaan harian iaitu makanan dan  peralatan untuk belajar terutamanya, adalah ditanggung seratus peratus oleh pelajar tersebut bersama-sama dengan keluarga mereka. Hal ini nampak begitu mudah jika ia melibatkan pelajar daripada golongan berada, namun ia nyata merupakan bebanan kepada rakyat Malaysia.

Perkara yang disebutkan di atas adalah berkenaan dengan keadaan pelajar yang berkenaan. Bagaimana pula dengan pelajar yang menuntut bukan di tempat asal mereka? Contohnya, para pelajar yang berasal dari Kepulauan Borneo datang ke Semenanjung Malaysia untuk merealisasikan impian mereka menimba ilmu pengetahuan. Apa yang cuba untuk diketengahkan di sini adalah kos pengangkutan. Sememangnya benar para pelajar boleh menyambung cita-cita ke Menara Gading kerana diberikan kos pendidikan percuma, namun ia tidak termasuk dalam kos pengangkutan ulang-alik pelajar dari negeri asal ke tempat pengajian dengan menggunakan sistem penerbangan. Ia merupakan kos pengangkutan yang tinggi dan sekiranya para pelajar ditawarkan untuk meneruskan pengajian pun, mereka akan berfikir sama ada untuk meneruskan kejayaan mereka atau tidak lantaran masalah kewangan yang dihadapi dalam kos pengangkutan pula.

Kesan yang lebih dahsyat lagi yang kita akan nampak sekiranya sistem pendidikan di negara ini diberikan secara percuma, ia akan memberi kesan buruk terhadap ekonomi Malaysia. Seperti yang kita tahu, negara ini merupakan negara membangun dan ekonomi Malaysia juga tidak dianggap begitu stabil lagi. Ini dapat dibuktikan dengan Dasar Ekonomi Baru Malaysia yang mana belum mampu untuk menghapuskan kadar kemiskinan rakyat. Sewajarnya, pihak yang berkenaan perlu menitikberatkan ekonomi rakyat terlebih dahulu dengan berpaksikan ekonomi negara. Walhal, ekonomi negara tidak begitu stabil, maka adakah relevan untuk memberikan pendidikan secara percuma? Adalah lebih baik sekiranya wang bayaran daripada peminjam PTPTN digunakan untuk sesuatu yang lebih menghasilkan faedah contohnya dengan memajukan kawasan pedalaman atau mengatasi masalah kemiskinan rakyat.

Selain itu, kesan lain yang dapat kita lihat daripada pemansuhan PTPTN adalah  akan menutup ruang kepada generasi akan datang khususnya Bumiputera untuk melanjutkan pendidikan. Seperti mana yang diulas oleh Ketua Pemuda Umno Negeri, Mohd Helmy Din berkata, “Pemansuhan PTPTN sebenarnya akan menutup ruang kepada generasi akan datang khususnya Orang Melayu untuk melanjutkan pendidikan,” pada 15 April 2012 di sebuah akhbar tempatan. Hal ini terjadi mungkin disebabkan beban tanggungan negara ke atas sistem pendidikan yang diberikan percuma sehingga menutup peluang untuk melahirkan ramai graduan Bumiputera khususnya untuk menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi lagi.

Justeru itu, banyak kesan buruk yang dapat kita perhatikan sekiranya PTPTN dimansuhkan. Kita perlu berfikiran jauh dalam merangka sesuatu perkara sebelum kita bertindak melulu untuk memutuskan keputusan dalam sesuatu perkara. Kita perlu menimbang baik buruk sesuatu perkara tersebut bukan berdasarkan emosi sahaja, bahkan kita perlu mengambil kira akan kesan yang akan datang supaya kita lebih bersedia dalam menghadapi kemungkinan pada masa hadapan. Sekiranya, ingin penambahbaikan dalam sistem pendidikan berkenaan dengan PTPTN adalah wajar sekiranya dihentikan bunga terhadap peminjam pinjaman PTPTN contohnya sekiranya peminjam hanya meminjam RM15,000, maka bayaran yang harus dibayar juga adalah RM15000 tanpa dikenakan sebarang bunga ke atas peminjam.

Banyak kebaikan yang kita dapat sekiranya PTPTN tidak dimansuhkan kerana ia merupakan inisiatif bagi membantu para pelajar melanjutkan pendidikan di universiti di samping meringankan beban mereka dalam menyara kehidupan di alam kampus tanpa mereka perlu mengalihkan fokus ke arah kerja sambilan semata-mata untuk mendapatkan wang saku untuk perbelanjaan mereka. Selain itu, sistem ujrah yang dijalankan juga merupakan langkah yang tepat untuk membantu peminjam dalam melunaskan hutang pinjaman mereka seiring dengan kehendak syariah. 

Kesimpulannya, sekiranya pemansuhan PTPTN dilakukan, ia bukanlah jalan terbaik dalam meringankan beban rakyat bahkan juga tidak meringankan beban negara.

Quotes for the day:

Appreciation is a wonderful thing:It makes what is excellent in others belong to us as well.

No comments:

Post a Comment